Zaiful :Ini berita terbaru yang kami terima tentang Misi Bantuan ke Gaza di mana wartawan Astro Awani dan jurukamera Astro Awani, Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Abdul Latip telah pun dibebaskan oleh Israel hari ini dan kedua-duanya dan seratus lagi dihantar pulang ke sempadan Jordan menaiki 3 bas menerusi pintu sempadan Allenby yang bersempadanan dengan Jordan.
Dan di talian sekarang ini secara langsung dari Jordan, kita bersama dengan Ashwad Ismail, wartawan Astro Awani. Assalamualaikum Ashwad
Ashwad, satu perkembangan, satu berita yang amat menggembirakan bagi kami di Astro Awani dan saya pasti seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti siaran ini secara langsung. Pertama sekali bagaimana, apa yang Ashwad dapat kongsikan bersama kami di sini.
Ashwad : Apa yang saya dapat kongsikan bersama penonton, pertama sekali saya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia, Duta Malaysia di Jordan dan seluruh masyarakat antarabangsa sebenarnya yang banyak berusaha untuk pembebasan ini. Dan apa yang dapat saya laporkan kesemua 12 krew ataupun kesemua 12 wakil Malaysia yang dalam misi bantuan ke Gaza ini semuanya selamat, semuanya agak keletihanan dan dehydrated. Dan pada masa sama, mesej yang sama juga seperti yang saya katakan iaitu berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya dikhabarkan, semuanya membuat doa selamat dan mejalankan solat hajat semata-mata bagi memastikan keselamatan kami terjamin.
Dan sedikit sebanyak, apa yang dapat saya kongsikan, mesej saya pendek saja iaitu dalam masa 24 hingga 28 jam ketika berada dalam tahanan Isreal. Apa yang saya dapat simpulkan, 28 jam itu saya boleh rasakan pengalaman konflik 6 dekad Israel-Palestin, kesengsaraan Palestin di bawah kekejaman rejim Zionist dalam masa 28 jam dan ternyata tidak dapat digalas dengan segala apa yang ada pada kita.
Dan ketika berlakunya rampasan kapal, mereka bertindak seakan berdepan dengan ketenteraan, padahal pada masa sama, kita hanyalah orang awam
Zaiful :Saya ingin tanyakan kali terakhir kita bersama ataupun kali terakhir Astro Awani dapat berhubung dengan Ashwad adalah ketika Ahad malam dan selepas itu, mungkin Ashwad dapat imbas kembali apa yang berlaku selepas itu
Ashwad :Ketika saya habis, saya berlintas langsung melalui siaran langsung untuk Awani 745, dan malam itu saya menghantar email kepada barisan editor kita di Astro Awani untuk bersiap sedia untuk Awani 745 keesokan harinya pada hari Isnin.
Tetapi pada jam 11 malam kami sudah bersiap sedia sepenuhnya di mana kami mendapat laporan tentera-tentera Israel dengan segala keperluan pertahanannya mengepung kami daripada sepatutnya 40 batu ke kawasan masuk ke kawasan perairan Israel tetapi mereka memperluaskan ke kawasan ketenteraan hingga 68 batu jadinya setibanya kami dalam kawasan perairan.
Israel mula mengepung 11 malam, 2 pagi Israel mula menghampiri dan 4.30 pagi mereka menyerang dari segenap pelosok , termasuk 14 bot kesemuanya 8 kapal tentera laut, 19 bot tentera navy dan juga komando, 3 helikopter Apache dan sebagainya turun dari dek atas dek tepi, kiri kanan di mana kawasan kita adalah kawasan NGO-NGO kita kawasan kerjasama NGO Malaysia dan Indonesia seramai 24 orang, 20 orang kesemuanya menjadi front liner dibahagikan tepi dek kapal dan mereka diserang bertubi-tubi dan alhamdulillah saya dan jurukamera Shamsul terselamat dari tembakan di mana peluru hidup digunakan.
Hanya di sebelah dua orang Turki di sebelah kiri dan kanan saya ditembak di bahagian tangan dan juga di bahagian bahu. Tapi saya sempat menyelamatkan diri dan merangkak turun dari dek kapal melarikan diri ke kawasan yang lebih selamat di dalamnya. Saya merangkak di kawasan yang berlumuran darah Zaiful dan ternyata pengalaman yang memeritkan untuk kita imbas kembali tetapi jika diperhatikan kami berjaya membuka mata dunia tentang apa yang berlaku dan saya tidak menjangkakan bahawasanya Israel boleh bertindak sedemikian kerana kami membawa orang awam di dalam kapal tetapi tindakan ketenteraan yang dilakukan. Ini satu isytihar perang atas kemanusiaan.
Zaiful : Ashwad, bagaimana dengan keadaan Shamsul?
Ashwad :Shamsul alhamdulillah dalam keadaaan sihat. Kami terpisah sebenarnya, saya dan Shamsul terpisah semenjak saya digari oleh fibre tight atau dalam bahasa Melayunya seakan-akan gari itu tapi diikat tangan kedua-dua belah tangan saya di mana Shamsul diarahkan duduk di tepi dan saya diarahkan turun ke bawah dan kami terpisah sejak itu dan kami dipenjarakan di Beersheba. Kami dibawa ke Ashdod. Dari Ashdod kami dibawa ke penjara di Beersheba dan dari itu kami tidak bertemu. Dan hari ini, kami masuk ke kawasan Jordan di sempadan Jordan Israel alhamdulillah di Jambatan Syem syem kami dipertemukan semula.
Zaiful :Baik pelbagai laporan dikeluarkan media antarabangsa dan juga kenyataan yang dikeluarkan Isreal sendiri, Israel mengatakan, menuduh terdapat senjata tajam dan sebagainya yang digunakan yang memaksa askar mereka untuk melepaskan tembakan dan sebagainya. Ashwad yang berada dalam kapal ketika itu, apa reaksi Ashwad pada kenyataan ini.
Ashwad :Bukan senjata tajam yang digunakan tetapi hanyalah air untuk mengelak mereka menyerang ke atas kapal. Meriam, bukan meriam air sebaliknya hanyalah pili bomba digunakan dari mengelak komando-komando mereka dari naik ke atas kapal melalui bot-bot kecil yang telah pun mengepung Mavi Marmara. Jadi saya tidak nampak apa senjata tajam yang digunakan. Melainkan mereka sudah mula melepaskan tembakan, itulah senjata yang terpaksa mereka gunakan iaitu besi-besi yang terdapat di atas kapal bukan senjata berbentuk pisau, parang, pedang samurai dan sebagainya tetapi menggunakan pisau sahaja.
Zaiful :Mungkin Ashwad boleh kongsikan selepas ini apa perancangan dari pihak kedutaan kita di Jordan apa penerbangan, jadual penerbangan pulang dan sebagainya.
Ashwad : Itu kami akan mengadakan satu mesyuarat dan Datuk Malek sendiri akan memberi maklumat dan kami baru saja bertemu dan sebarang maklumat kami akan hubungi Kuala Lumpur.
Zaiful : Mungkin soalan terakhir dari kami di sini, layanan yang diterima Ashwad di Jordan kini dan mungkin pada waktu ketika di Ashdod dan sebagainya.
Ashwad : Layanan yang diterima Zaiful oleh pihak Israel maksud Zaiful?
Seperti yang saya katakan tadi, mesej saya ringkas, saya merasakan konflik 6 dekad Palestin-Israel, bagaimana Palestin ditindas tetapi saya merasakan dalam tempoh 24 hingga 28 jam dan mesej itu saya harap para penonton semua termasuk Zaiful dan ibu bapa saya sudah mendapat mesej itu tak perlu saya huraikan jenis apa yang telah dilakukan ke atas saya
Zaiful : Terima kasih Ashwad, kami menanti kepulangan dan juga rakan-rakan yang lain. Sampaikan salam kami dan ucapan terima kasih dari kami di Astro Awani dan juga keluarga.
Ashwad : Zaiful, sampaikan juga salam kami, saya dan juga Shamsul Kamal pada ibu bapa kami. Cakap kami dalam keadaan sihat walfiat.
Zaiful :Ya, Insya Allah dan terima kasih pada kedutaan kita di sana kerana membantu rakan-rakan kita. Ashwad dan juga rakan-rakan kita NGO dan aktivis yang lain untuk dibawa pulang ke Malaysia secepat mungkin.
No comments:
Post a Comment